Rabu , 16 Mei 2012
Sentral: Kedai mesra rokok
Oleh Siti Haliza Yusop
shyusop@bharian.com.my
2010/08/02
SEGELINTIR pelajar merokok selepas tamat sesi persekolahan.
Tanpa mengendahkan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 sekiranya ditangkap membeli, memiliki atau merokok, berpuluh pelajar lelaki dari beberapa sekolah di sekitar Jalan Ipoh di sini, menjadikan sebuah kedai sebagai tempat
pertama tumpuan mereka sebaik saja melangkah keluar dari kawasan sekolah.
Orang awam yang ditemui berkata, situasi itu sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan kini lebih ramai pelajar ‘junior’ melakukan perkara sama, apatah lagi selepas melihat ’senior’ mereka begitu bebas menghembuskan asap rokok, tanpa dikenakan sebarang tindakan.
Ibu pelajar, Faridah Mohamed, 46, yang mengakui anaknya seorang daripada pelajar lelaki yang berani membeli rokok secara terbuka berasa kesal dengan tindakan kebanyakan peniaga mensasarkan pelajar sebagai pelanggan.
Beliau berkata, masalah itu berlaku kerana pelajar biasanya akan membeli antara satu hingga lima batang rokok yang ternyata menguntungkan peniaga berbanding jualan sekotak rokok kepada pelanggan dewasa.
“Walaupun ada yang berpendapat penjualan rokok boleh berlaku di mana-mana tetapi peniaga sebenarnya berupaya memainkan peranan membantu ibu bapa dan guru dalam mengekang tabiat buruk ini daripada menular,” katanya kepada Sentral di sini.
Tinjauan Sentral di kawasan berkenaan sebaik tamat sesi persekolahan pagi mendapati, lebih 20 pelajar mengerumuni kedai berkenaan untuk membeli rokok, selain minuman dan makanan ringan.
Walaupun kawasan berkenaan dilalui ibu bapa yang mengambil anak mereka di sekolah berhampiran, kumpulan pelajar lelaki terbabit tidak sedikit pun menunjukkan rasa segan menghembus asap rokok di depan khalayak.
Seorang bapa yang enggan dikenali berkata, pihak sekolah sentiasa berusaha menangani masalah itu apabila menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Jadi, saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan ibu bapa dan pihak sekolah lepas tangan dan tidak mengambil apa-apa tindakan.
“Daripada apa yang saya lihat, masalah ini akan berpanjangan jika peniaga di kawasan ini mengambil sikap mudah menjual rokok kepada pelajar.
“Mereka perlu ingat, rokok adalah jalan pembuka kepada jenayah lain termasuk dadah apatah lagi jika pelajar berkenaan tidak dapat berfikir dengan matang,” katanya.
Sementara itu, Roswadi Mohammad, 40, berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada peniaga terbabit kerana khuatir pemandangan tidak sihat itu menjadi ikutan pelajar sekolah rendah berdekatan.
“Undang-undang yang diwujudkan kerajaan dengan mengenakan hukuman kepada peniaga yang menjual rokok kepada pelajar adalah satu tindakan yang betul tapi mungkin penguatkuasaannya longgar menyebabkan masalah ini semakin buruk,” katanya.

No comments:
Post a Comment